Monday, August 30, 2010

KEMATIAN ITU PASTI BERLAKU - 3

Assalamu'alaikum

Kachik risau sungguh dengan diri kachik yang rasa takut pada janji Allah ni mai kadang2... jarang2 la sebenarnya. Banyak lalai dari menginsafi diri yang kchik banyak dosa. Kakchik mewarisi Islam semenjak lahir namun entah mana amalnya.

Janji ALLAH SWT yang menciptakan manusia dari segumpal darah, lalu menjadi seketul daging bertunjangkan tulang belulang, terus ditiupkan roh akhirnya hidup sebagai manusia. Sempurna akalnya, fikirannya, sihat tubuhnya, cerdas mindanya lalu diamanahkan pula menjadi seorang Khalifah bumi.

Janji ALLAH SWT, akhirnya DIA mencabut roh-roh yang pernah dihembuskan pada permulaannya bersama benih-benih amalan hatta sebesar biji sawi sekalipun. Janji ALLAH SWT juga akan mempertemukan manusia seluruhnya di satu padang luas mata memandang entah tak terhitung dek fikiran dangkal. Saat itu segalanya pasti tertayang kembali.

Begitu banyak ALLAH swt telah menyatakan janjiNya adalah pasti. Lambat mahupun cepat itu semua urusanNya, tetapi ia pasti! Noktah.

Dan tentu pasti, kelak sebahagian kita juga pasti maut datang menjengah, lalu merugilah orang-orang yang sentiasa ingat dia akan hidup selamanya, merasa diri tuhan dunia, merasa kuasa peniup roh manusia, sedangkan dia, bukanlah siapa-siapa, melainkan hanya salah satu makhluk yang ESA.

Tuhan, ampuni dosaku, dosa ahli keluargaku, dosa nenek moyangku, dosa para sahabat dan taulanku, dosa para pemimpin ku, dosa guru-guruku, dosa nak2 muridku, dosa jiran tetanggaku dan dosa orang Islam sekaliannya yang dahulu, kini dan akan datang. Moga kami semua melayari bahtera dunia di dalam kawalan dan tarbiyyah Mu, landas Islam yang kaffah dan tiada yang lain selain agamaMu yang syumul dan diri Mu sembahan kami semua. ALLAHu rabbi.

Oh tuhanku..ALLAH…jadikanlah penghujung kami yang masih hidup dengan husnul khatimah..kau berikanlah nikmatMu yang agung buat muslimin muslimat yang sudah meninggalkan kami. Tidak layak untukku memikirkan sesuatu hal yang tak termampu kami fikirkannya. Kerana ALLAH itu selayak mengetahui perkara-perkara ghaib.

Subhanallah.. ya, janji Allah itu pasti benar. setiap kali kita diuji dalam segala bentuk kesusahan, keperitan dan kesedihan, namun apabila kita ingat akan janji2Nya, kita semakin tenteram. itulah ayat2 pujukNya pada kita, tertulis dalam kalam cintaNya. sudah lama ditulisnya namun kita masih berdegil lantas tidak memandang ayat2 itu sebagai pemujuk hati kita, lalu mengharap pada manusia lain lebih dari berharap pada Tuhan kita yang Maha penyayang… moga Allah kekalkan hati ini untuk terus mengingatiNya dan hanya memohon pengharapan daripadaNya…

wallahu'alam

Sunday, August 29, 2010

SAMBUT HARI RAYA IKUT SUNNAH


Assalamu'alaikum.
Rupanya sudah 19 hari kita berpuasa dalam bulan penuh barakah ini, bulan Ramadhan 1431H. Apabila genap sebulan Umat Islam berhempas pulas menjalankan ibadah berpuasa, kini tibalah masanya meraikan kejayaan itu dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Seluruh Umat Islam di Dunia dan Malaysia khususnya meraikan sambutan Eidul Fitri dengan bentuk dan adat yang berbeza.

Bagi rakyat Malaysia sambutan Eidul Fitri disambut dengan acara ziarah menziarahi sanak saudara dengan memakai pakaian yang terbaik dan cantik-cantik. Seluruh ahli keluarga berhimpun dan berkumpul bersama. Sebaliknya Umat Islam di sebahagian Tanah Arab pula meraikan cuti umum hari raya dengan membawa ahli keluarga keluar makan, tidak kurang juga yang pergi berkelah dan bersiar-siar. Apa pun jenis dan cara sambutan mereka, kesemuanya pasti menyambut hari raya dengan penuh kegembiraan dan keseronokan.

Di sebalik kemeriahan sambutan Eidul Fitri, Islam telah meletakkan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari kebesaran. Inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa selaras dengan natijah ibadah berpuasa itu disyariatkan. Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w turut sama meraikan hari lebaran ini dengan penuh kegembiraan dan keseronokan. Hal ini boleh dilihat dengan tindakan Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Eidul Fitri dan Eidul Adha. Anas bin Malik r.a berkata:
"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” ( Hadis Riwayat al-Nasaai)

Persoalan yang timbul ialah sejauh mana kesedaran kita selaku Umat Islam memastikan tatacara kita meraikan hari lebaran ini tidak bercanggah daripada anjuran dan sunnah baginda Rasulullah S.A.W.

Amalan Bertakbir
bertakbir pada 1 syawal merupakan amalan yang disyariatkan Bermula sebaik sahaja terlihatnya hilal (maghrib 1 syawal ) dan berakhir sehingga imam selesai berkhutbah di pagi Syawal. Firman Allah S.W.T:
"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185.
Ketika seluruh kaum keluarga berkumpul beramai-ramai pada malam hari raya, ramai yang melupakan anjuran bertakbir. Kita lebih selesa menonton rancangan –rancangan hiburan di kaca televisyen, tidak kurang juga yang berkesempatan berkaraoke sehingga larut malam. Jika ditinjau di masjid-masjid sebenarnya tidak ramai yang memanfaatkan peluang yang ada menyertai jemaah malaungkan kalimah agung yang suci ini.
Satu perkara yang perlu ditekankan juga ialah anjuran Rasulullah agar Umat Islam bertakbir dengan suara yang lantang ketika dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat menunaikan Solat Sunat Eidul Fitri walaupun kebanyakan Umat Islam memandang remeh sunnah ini. Bertakbir dengan cara sebegini antara lain sebenarnya bertujuan menyerlahkan keagungan syiar Islam di samping menjadi contoh kesepakatan umat Islam di mata masyarakat bukan Islam.

Menghidupkan malam Hari Raya
Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan.

Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:
"Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w.

Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.

Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya kerana doa pada malam tersebut adalah mustajab. Imam Syafi’ie berkata di dalam kitabnya al-Umm; “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan; ‘Sesungguhnya terdapat lima malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat, malam hari raya korban, malam hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban’”. (Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426, al-Majmu’, 5/47).

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.

Janganlah kita menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.

Mandi sunat

Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan. Sunat mandi ini adalah berdasarkan amalan sahabat di mana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan;

أَنَّّ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَاْنَ يَغْتَسِلُ يَوْمَ الْفِطْرِ قَبْلَ أَنْ يَغْدُوَ
“Sesungguhnya Ibnu Umar r.a. mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya”.
(Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’. Menurut Imam Nawawi; atsar ini adalah soheh)

Begitu juga dikiaskan kepada mandi hari jumaat. Selain dari mandi disunatkan juga menggunting atau mencukur rambut, memotong kuku dan menghilang bau-bau di badan dan pakaian kerana hari tersebut adalah hari raya, maka disunatkan perkara-perkara tersebut dengan dikiaskan kepada hari jumaat. Menurut Imam Ibnu Rusyd; sunat mandi hari raya adalah ijma’ ulamak. (Lihat; Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 283).

Beramai-ramai menghadiri tempat solat hari raya

Disunatkan pada hari raya umat Islam keluar beramai-ramai ke tempat solat hari raya termasuk kaum wanita (sama ada tua atau muda, yang berkahwin atau belum berkahwin, yang suci atau dalam haid) untuk sama-sama bertakbir, mendengar khutbah dan berdoa. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan;
“Kami (para wanita di zaman Nabi s.a.w.) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (*yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Riwayat Imam Bukhari).

Menikmati juadah sebelum keluar (khusus bagi hari raya fitrah)

Disunatkan pada hari raya fitrah menikmati sedikit makanan sebelum keluar ke masjid atau tanah lapang bagi menunaikan solat. Sebaik-baiknya memakan buah tamar dan dengan bilangan yang ganjil. Adapun pada hari raya korban disunatkan menahan diri dari makan sehinggalah pulang dari menunaikan solat hari raya.

Diriwayatkan dari Ibnu Buraidah dari bapanya r.a. (seorang sahabat) yang menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan dan baginda tidak makan pada hari raya korban melainkan setelah beliau pulang”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dan at-Tirmizi. Hadis ini adalah hasan menurut Imam Nawawi)

Anas r.a. juga menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang ganjil’”. (Riwayat Imam Bukhari)

Keluar berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang

Disunatkan pergi ke tempat solat atau ke masjid dengan berjalan kaki dalam keadaan tenang. Apabila pulang, disunatkan melalui jalan yang lain dari jalan yang dilalui ketika pergi tadi. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. keluar untuk menunaikan solat hari raya dengan berjalan kaki dan pulang dengan berjalan kaki”. (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Imam Bukhari meriwayatkan dari Jabir r.a.; “Adalah Nabi s.a.w. pada hari raya baginda melalui jalan yang berbeza (yakni ketika pergi melalui satu jalan dan ketika pulang melalui jalan yang lain)”. Dari Ibnu ‘Umar r.a.; “Sesungguhnya Rasulullah pada hari raya melalui satu jalan (ketika keluar menunaikan solat hari raya), kemudian baginda pulang dengan melalui jalan yang lain”. (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim)

Antara hikmahnya menurut ulamak ialah; supaya kedua-dua jalan serta penduduk sekitarnya dari kalangan manusia dan jin menjadi saksi kepada baginda dan juga untuk menzahirkan syiar Islam.

Segera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya.

Disunatkan bersegera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya dikerjakan. Ibnu Umar r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dikeluarkan zakat fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya untuk mengerjakan solat”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Mengeluarkan zakat fitrah selepas selesai solat hukumnya adalah makruh di sisi imam mazhab empat. Malah ada pandangan menyatakan; haram.

Lafaz Ucapan Hari Raya.
Lafaz ucapan hari lebaran seperti “Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin” sudah menjadi sinonim bagi Umat Islam di Malaysia. Namun, cara dan lafaz yang lebih bertepatan dalam meneladani sunnah Baginda ialah berdasarkan apa yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair katanya:
“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian daripada mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain dengan ucapan ‘Taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” ( Kitab Fath al-Bari)

Justeru, mulai daripada syawal 1431h pada tahun ini, adalah tidak salah kita mulakan lafaz hari lebaran dengan ucapan indah yang bertepatan dengan anjuran sunnah Rasulullah S.A.W.

Adapun galakan bersalam-salaman adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang bersabda; “Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Anas r.a. dengan sanad yang soheh menurut Imam Nawawi)

Mengenai galakan menzahirkan kegembiraan, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebutkan; “Senyumanmu di hadapan wajah saudara kamu adalah sedekah bagimu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Zarr r.a.)

Etika Pemakaian.
Umum mengetahui, merupakan satu sunnah kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian terbaik dan tercantik pada hari raya. Imam Syafie menyebut di dalam Kitab al-Umm:
"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian."
Adapun bagi kaum wanita pula walaupun sunnah hukumnya memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah mengelakkan diri daripada memakai pakaian yang boleh menarik perhatian kaum lelaki seperti pakaian yang terlalu bercorak-corak, pakaian nipis yang menampakkan bentuk tubuh badan serta perhiasan yang berlebih-lebihan. Mereka juga dilarang sama sekali memakai wangi wangian yang berlebihan sehingga menarik perhatian orang disekelilingnya.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." ( Hadis riwayat al-Nasaai)

Realiti yang berlaku, ramai para wanita yang tidak pandai mengukur had-had dan etika pemakaian mereka ketika berhari raya sehingga ramai yang kelihatan berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang. Dalam keadaan ini, pahala sunnah yang diharapkan bertukar menjadi dosa jika tidak dipelihara batasan-batasannya..

Jangan sekali-kali disambut dengan hiburan, mercun, pesta lampu dan berbagai kemungkaran dan kemaksiatan.

Pada petang akhir Ramadhan orang-orang yang meninggal(sudah mati) menangis kerana peluang untuk berehat telah berakhir. Adalah di cadangkan semoga keluarga(lelaki) menziarahi kubur pada petang akhir Ramadhan atau jika kuburnya jauh, hendaklah dibaca doa Tahlil selepas solat Asar. Semoga mereka diampuni.

Ibnu Abbas r.a pernah mengatakan bahawa roh orang yg meninggal dunia dibenarkan pulang ke rumah anak-anaknya dan berdiri di pintu rumah memohon belas kasihan daripada anak-anak mengirimkan bacaan doa, sekurang2nya Al Fatihah sekali untuk mereka.

Oleh itu janganlah terlalu gembira dan ingatlah orang-orang tua yang sudah meninggal, semoga nanti sampai giliran kita maka anak-anak akan ingat kepada kita

Kesimpulannya, Setiap usaha dan amalan yang bertujuan meneladani sunnah merupakan batu loncatan kita mengharapkan syafaat Nabi Muhammad S.A.W. Percayalah, amalan sunnah itu dirasakan sesuatu yang asing kerana kita selaku Umat Islam sendiri yang menjadikannya asing. Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan
bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh penghayatan, keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.
wallahu'alam.

kEMATIAN ITU PASTI BERLAKU - 2

Assalamu'alaikum.

Setiap manusia pasti pernah mengalami kehilangan -- tidak saja harta, tapi juga kesihatan, kehormatan, kekasih, dan cinta. Ada orang yang boleh bersabar menerima musibah kehilangan. Namun, banyak pula yang bingung, stress, bahkan gila kerana tidak boleh menerima kehilangan tersebut.

"Kehilangan boleh menimpa siapa saja. Tak pandang bulu. Lelaki, perempuan, anak-anak, orang tua, orang desa, orang kota. Siapa saja. Ini kerana kehilangan adalah sebuah proses yang harus dilalui dalam kehidupan. "Di dunia, kehilangan pada hakikatnya merupakan unsur utama dalam proses penciptaan. Bunga mawar merekah, kuntum pun hilang. Tanaman mekar, biji pun hilang. Fajar menyingsing, malam pun hilang. Kematian datang, hidup pun hilang.

Dan hal kematian ini, kachik rasa ramai orang akan berusaha mempertahankan hidup dengan sekuat tenaga dan upaya. Bahkan untuk mempertahankan hidupnya, tidak sedikit orang yang rela mengorbankan apa saja -termasuk keimanannya. Tengok saja la ni jual la apa2 yang berkaitan dengan panjang umur orang akan cuba dan sanggup membeli walaupun mahal. Umpan la ubat dari Mesir, China, herba turun temurun ka, tak kira halal haram orang tak kisah.
Padahal, kehilangan hidup adalah sesuatu yang hakiki, yang pasti akan terjadi. "Hidup memang kurnia Allah terbesar pada ciptaan-Nya. Sejauh ini tidak ada orang yang mampu menciptakan hidup. Robot canggih dengan sejuta mikrochip dan sensor elektrokimia pun tidak mampu menjalani hidup seperti halnya makhluk hidup ciptaan Allah.

"Bagaimana dengan kematian? Kematian, sesungguhnya tidak kalah menakjubkannya dengan hidup. Kematian, sebagaimana hidup, adalah kurnia terbesar dari Allah kepada makhluk ciptaan-Nya. Sebab, kematian - tidak seperti matinya robot ciptaan manusia - merupakan gerbang dari kehidupan baru. "Al Quran, misalnya, memandang kematian sebagai awal kehidupan yang sebenar-benarnya. Itulah sebabnya, sufi Yazid Bustomi, sangat hairan mengapa orang takut mati. Bukan kehidupan yang takut pada kematian, kata Yazid Bustomi, tapi kematian yang seharusnya takut pada kehidupan. Kesedaran Bustomi ini muncul kerana ia melihat kematian sebagai awal dari kehidupan yang hakiki.

Allah, misalnya, melukiskan kehidupan dunia ini sebagai senda gurau dan permainan. Sedangkan hidup setelah kematian adalah sebuah kehidupan yang sebenar-benarnya kehidupan. ''Dan tiadalah kehidupan dunia melainkan suatu senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya kehidupan akhirat itulah yang merupakan kehidupan sebenarnya kalau mereka mengetahui."(QS. 29: 64).

Untuk itulah, Allah selalu meningatkan manusia untuk membekali diri dalam mengarungi kehidupan yang sebenar-benarnya. ''Bertakwalah kepada Allah, wahai manusia. Perhatikan apa yang telah kau perbuat untuk kehidupan akhiratmu.'' (QS. 59:18).

QS 067:002 Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

QS 032:011 Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".

QS003:185 Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

QS004:078 Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: "Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?

Kalau kchik nak senaraikan surah2 lain berkaitan mati ni memang banyak... tapi isu sebenarnya ialah ADAKAH KITA TELAH BERSEDIA? kchik dengan malunya mengaku banyak lagi kesilapan2 lama yang perlu ditebus, banyak lagi amalan2 yang perlu dilaksanakan... tapi mati itu pasti... sedia atau tak kchik pasti dijemput menemui Illahi. Semoga Allah redha dengan bekalan yang akan kchik bawak kelak. Amin.

Wassalam.

KEMATIAN ITU PASTI BERLAKU - 1

Kematian pasti berlaku. Itu janji ALLAH. Lari lah kemana pun, hatta ke hujung dunia pun Malaikat Izrail pasti menjemput. Ya ALLAH apakah hambaMU ini sudah bersedia bila SAAT itu tiba. Semoga kematian ku kelak dalam keadaan Husnul Khotimah.

Betapa hebatnya saat kematian Bilal bin Rabah , di saat nazak, beliau sempat berkata kepada isterinya "Jangan engkau berkata alangkah sedihnya, tetapi katakanlah: alangkah girangnya..! esok kita akan bertemu para kekasih, Muhammad dan sahabat-sahabat!"

Dan betapa kasihnya Abdullah bin Mas’ud

Ketika hampir mati, dia memanggil anaknya dan berkata:

Wahai Abdul Rahman bin Abdullah bin Mas’ud, aku wasiatkan kamu lima perkara, peliharalah ia:

- Putuskan harapan kamu daripada manusia kerana itulah kekayaan yang sebenarnya.

- Berhenti dari meminta hajat kamu kepada manusia kerana itulah kefakiran yang pasti

- Tinggalkan perkara-perkara yang engkau tidak mampu, jangan lakukannya.

- Sekiranya engkau dapat jadikan hari ini lebih baik daripada semalam, maka lakukanlah.

- Dan sekiranya engkau menunaikan solat, maka tunaikanlah solat selamat tinggal, seolah-olah engkau tidak akan solat lagi selepas itu.

WALLAHU'ALAM

Saturday, August 28, 2010

saling tegur menegur

Rasulullah SAW bersabda
"Dunia itu mencari dan dicari. Pencari Akhirat akan dicari dunia, sehingga di situ sempurnalah rezekinya. Sedangkan pencari dunia akan dicari Akhirat, sehingga maut datang mencengkam lehernya."

Kchik ini insan biasa. Dalam mencari ilmu, makin banyak ilmu yang kchik cari, makin kchik tersedar yang banyak lagi ilmu yang kchik tak tahu.

Kchik takut maut menjemput kchik bila2 masa. Banyak ilmu yang kchik nak kongsi dengan anak2 kchik. Tapi dema ni kecik lagi, ada ilmu yang dema susah nak faham. Kchik harap sangat (sekiranya masih relevan penggunaan blog pada masa akan datang) anak2 kchik boleh rujuk blog kchik dan hayati ilmu yang ingin kchik sampaikan, tetapi hingga masa itu tiba kchik berharap semoga di blog ini kchik dapat berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat yang sama-sama berusaha mencari redha illahi. Jika ada salah dan silap tolong perbetulkan.
kita biasakan yang betul dan betulkan kebiasaan yang tidak betul.

Wednesday, August 25, 2010

Ahlan Wa Sahlan

Assalamu'alaikum.

Salam perkenalan. Semoga ukhwah yang kita bina akan mendapat keberkatan dari Illahi. Hidayah dari Allah dipohon sentiasa.

Wassalam.