Dalam kitab ringkasan Manhajul – Ashidien dari Hamid al-Qaishary, bahawa ia pernah berkata : ” Kami semua mempercayai mati. Tetapi kami tidak melihat orang yang menyiapkan diri. Kami semua mempunyai syurga. Tetapi kami tidak melihat orang yang beramal untuk memasuki syurga. Kerana itu bagaimana kamu dapat bergembira dan apa yang kamu semua nanti2kan ?
Kematianlah yang pertama- tama akan datang kepadamu sekalian dengan perintah Allah SWT dalam keadaan baik atau jahat. Kerana itu, berjalanlah menuju Tuhanmu dengan cara yang baik. Dan sejiwa dengan nasihat di atas ini, iaitu dari Ibrahim bin Adham ketika dia ditanya orang2 mengenai pengertian firman Allah SWT .”
” Mohonlah kepada Ku nescaya Aku akan perkenankan kamu.” al Mukmin : 60
Mereka berkata : Kami telah memohon kepadaNya tetapi Dia tidak memperkenankan permohonan kami itu. Jawabnya : Sebab hati kamu telah mati kerana sepuluh hal.
1. Kamu mengetahui Allah SWT, tetapi kamu tidak mahu menunaikan hak-hakNya.
2.Kamu membaca al Quran, tetapi tidak mengamalkannya.
3. Kamu mengatakan memusuhi syaitan, tetapi ternyata kamu jadikan ia teman.
4. Kamu mengatakan cinta kepada Rasulullah, tetapi kamu tinggalkan jejaknya.
5. Kamu mengatakan senang masuk syurga, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
6. Kamu mengatakan takut neraka, tetapi kamu tidak berhenti dari berbuat dosa.
7. Kamu mengatakan bahawa mati mesti terjadi, tetapi kamu tidak mempersiapkan diri untuknya.
8. Kamu sibuk melihat kekurangan orang lain, tetapi kamu biarkan aibmu sendiri.
9. Kamu memakan rezeki Allah SWT , tetapi kamu tidak mahu bersyukur.
10) Kamu menguburkan mayat-mayat kamu, tetapi kamu tidak mahu menjadikannya sebagai pelajaran.
Bagi orang2 yang sedar bahawa kematian menjadi penasihat tanah tempat tidurnya, ulat-ulat sebagai temannya, Munkar Nakir menjadi penanyanya, amalnya sebagai tempat duduknya, kuburan sebagai kediamannya, barzakh sebagai penginapannya, kiamat menjadi hari yang dijanjikannya, dan syurga atau neraka sebagai tempat persinggahannya, nescaya ia tidak akan lengah atau melupakan mati dengan segala kejadian sesudahnya, dan nescaya dengan sungguh-sungguh mempersiapkan dirinya menerima kematian. Ia akan menyiapkan dirinya dan menghimpunkan dirinya ke dalam golongan orang2 yang telah mati lebih dahulu, mahu memperhatikan penghuni2 kubur dan mahu ingat bahawa kalau di hari ia tinggal dalam rumah atau istana tetapi esok akan tinggal di dalam tanah galian dan kuburan.
Kematian adalah suatu musibah yang besar dan penderitaan yang hebat. Akan tetapi yang lebih hebat lagi adalah sikap melalaikan dan menutupi diri untuk mengingati kematian, tidak mahu merenungkan soal ini dan tidak mahu beramal untuk persediaan di hari itu.
Kita hendaklah berusaha memperbaiki diri dan beramal untuk menghadapi masa sesudah mati. Sementara mereka yang jahil ia adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan bahawa Allah SWT alan memberikan kebaikan kepada dirinya.
Perbuatan-perbuatan yang dapat menolong seseorang untuk mengingati mati dan beramal untuk menyambut masa sesudahnya itu ialah ziarah kubur, memandikan mayat dan menyembahyangkan jenazah.
Dari Abu Zar ia berkata : Rasulullah s.a.w. bersabda :
” Berziarahlah ke kubur, kerana ia dapat mengingatkanmu kepada akhirat. Mandikanlah orang mati, kerana mengurus jasad orang mati merupakan nasihat yang mendalam. Dan sembahyangkanlah jenazah kerana mudah-mudahan dapat meruntuhkan hatimu (menyedihkan) kerana orang yang bersedih dibawah naungan Allah SWT , bererti menghadapi segala kebajikan.”
Jadi bagi orang yang berakal janganlah ia lengah dari mengingat nasihat yang paling berharga yakni kematian, bahkan hendaklah ia banyak mengingatinya, kerana dengan mengingat itu akan menjadikan dirinya berpantang dari godaan kesenangan duniawi dan menyiapkan dirinya kepada dengan amalan soleh yang dapat mendekatkan dirinya kepada Tuhan serta menjauhkan dirinya dari perbuatan2 dosa yang menyebabkan jauhnya rahmat Tuhan daripadanya.
Ketika maut telah mendatangi, sedangkan ia berada dalam amal yang soleh, maka ia merasa senang untuk bertemu dengan Allah SWT dan Allah pun senang bertemu dengannya serta akan dibangkitkan sebagaimana keadaan disaat ia mati.
Dari Barra’ bin Azib ia berkata : Ketika kami bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w, tiba-tiba beliau melihat sekelompok orang maka sabdanya :
” Mengapa mereka itu berkumpul ? Lalu ada orang berkata : Mereka berada dalam sebuah kubur sedang menggalinya. Maka Nabi terkejut dan terus berlalu dari hadapan sahabat-sahabatnya dengan berjalan cepat hingga sampai ke kuburan itu, lalu beliau duduk, menangis sehingga bajunya basah oleh linangan airmatanya. Kemudian beliau kembali ke tempat kami dan bersabda : Siapa di antara saudara-saudara yang hari ini seperti ini, maka hendaklah mempersiapkan dirinya..”
Dari Hani’ bekas budak Usman berkata : Usman apabila berdiri di atas kuburan ia menangis sampai janggutnya basah kuyup. Lalu ada orang yang bertanya kepadannya : Apakah tuan ingat syurga dan neraka dan menangis kerananya ? Jawabnya :
Rasulullah s.a.w. sungguh telah bersabda :
” Kuburan adalah perhentian pertama di alam akhirat, jika ia selamat di sini maka seterusnya ia akan mengalami lebih mudah. Tetapi jika ia tidak selamat, maka selanjutnya ia akan mengalami lebih berat.”
Tsabit al-Bunani berkata : Kami biasa menyaksikan jenazah. Maka setiap kali kami menyaksikannya keluarlah tangis dan perasaan menyerah. Aku berkata : Begitulah iman mereka para sahabat kepada Allah SWT dan demikianlah takut mereka kepadaNya.
Inna lillaahi wa innaa ilaihi raji’un. Kami mohon semoga Allah SWT memberi kesedaran dari sifat lalai. Amin.