BERMUSAFIR
(Ringkasan Ihya’ ‘Ulumuddin karangan Imam Al Ghazali)
GOLONGAN MUSAFIR.
GOLONGAN PERTAMA:
Bermusafir untuk menuntut ilmu pengetahuan. Ini adakalanya wajib atau sunat, dilihat dari jenis ilmu pengetahuan yang dituntut.
“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya untuk mencari ilmu pengetahuan, maka ia berada di dalam jalan Allah sehingga ia kembali”
(Riwayat Tarmizi)
Tentang jenis ilmu, dihuraikan bahawa penting untuk menuntut ilmu pengetahuan untuk membaiki perilaku akhlak, kerana seseorang tidak dapat menginsafi keburukan dan sifat tercelanya sendiri apabila perkara itu lazim di tempatnya sekarang kerana ia sudah menjadi tabiat masyarakat. Tetapi, apabila diuji dengan sesuatu yang asing pada diri kita, barulah kita dapat melihat keburukan pada diri kita sendiri dan berusaha untuk melenyapkannya.
Ambillah manfaat dari pemandangan dari tempat-tempat yang indah dan berfikirlah tentang ayat-ayat Allah, agar ia menambahkan lagi keimanan kita dan meneguhkan keyakinan kita kepada Al-Khaliq.
GOLONGAN KEDUA:
Bermusafir untuk tujuan ibadah seperti menunaikan haji dan peperangan.
Hadis Abu Hurairah r.a:
“Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk sembahyang kecuali menuju ke tiga buah masjid iaitu masjidku ini iaitu masjid Nabi, Masjidilharam di Mekah dan Masjidilaqsa“
(Sahih Muslim)
GOLONGAN KETIGA:
Bermusafir untuk menghindarkan diri dari sebab-sebab yang menganggu agama.
GOLONGAN KEEMPAT:
Bermusafir untuk menghindarkan diri dari sesuatu yang membahayakan tubuh, selain lari dari penyakit taun. (Kerana ada hadith yang jelas melarang.)
Pendeknya, sesuatu tujuan musafir hendaklah difikirkan niatnya. Kerana hatta seseorang itu mahu beribadah menunaikan haji sekalipun, tetapi didorong perasaan riak, maka ia tidak lagi dikira amalan akhirat. Maka, mari kita berfikir sejenak, begitu jauh kita mengembara pulang, tetapi adakah niat kita berada di dalam niat yang diredhai Allah swt. Kerana jika tidak, maka sia-sialah penat lelah kita berjalan, hanya mendapat hasil di dunia sahaja.
إِنَّمَا الأعْمَالُ بِالنِّياتِ
“Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung kepada niat.”
(Sahih Bukhari dan Muslim)
1. Dianjurkan memulai perjalanan pada Khamis.
Melalui hadis diriwayat Bukhari bermaksud: “Rasulullah s.a.w berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis.”
2. Dianjurkan memulakan perjalanan pada waktu malam.
Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.”
3. Dianjurkan bermusafir bersama-sama.
Hadis riwayat Bukhari, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.”
4. Berdoa dalam musafir
Sabda Rasulullah s.a.w, seperti diriwayatkan Tirmidzi, bermaksud: “Tiga doa yang pasti akan dikabulkan Allah S.W.T ialah doa orang teraniaya, doa orang dalam perjalanan dan doa orang tua terhadap anaknya.”
5. Meraikan permulaan perjalanan dan berdoa
Dalam hadis riwayat Tirmidzi, Abu Hurairah r.a meriwayatkan, seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi berkata: hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi s.a.w berdoa, “ Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.”
Nabi s.a.w, apabila menghantar seseorang bermusafir, tidak melepaskan tangannya daripada orang terbabit sebelum orang berkenaan melepaskan dahulu tangannya.
Kemudian, baginda berdoa (maksudnya): “Saya titipkan kepada Allah agamamu, amanatmu dan kesudahan amalmu.” (Hadis riwayat Ahmad)
6. Dianjurkan juga segera kembali kepada keluarga apabila urusan sudah selesai.
Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Perjalanan adalah sebahagian daripada azab. Dia tidak dapat makan enak dan minum sepuas-puasnya serta tidur dengan nyenyak. Apabila seorang daripada kamu sudah menyelesaikan hajatnya, segeralah kembali kepada keluarganya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui jalan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk."(Surah An-Nahl, ayat 125)
No comments:
Post a Comment