Friday, January 24, 2014

ADAB SEMASA MUSAFIR

Salam Ukhwah,

Kali ni kachik nak kongsi adab semasa musafir

1. Wanita tidak bermusafir kecuali ditemani muhrimnya. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : ' Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat bermusafir selama 1 hari semalam kecuali disertai muhrimnya." (Muttafaq 'alah)

2. Bermusafir dengan teman yang soleh. Rasulullah s.a.w melarang bermusafir sendirian melalui sabda baginda yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang bermaksud :" Sekiranya manusia mengetahui bahaya(musafir) sendirian seperti yang aku ketahui, nescaya tidak ada seorang pun yang berpergian pada malam hari sendirian." (Riwayat al-Bukhari)

3. Hendaklah berteman tidak kurang dari 3 orang. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :'Dua orang yang bermusafir ialah dua syaitan. Tiga orang yang musafir ialah rombongan yang ideal (jauh daripadsa syaitan).' (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi)

4. Melantik seorang ketua. Rasulullah s.a.w memerintahkan hal ini dalam sebdanya yang bermaksud :"Jika tiga orang keluar dalam sebuah perjalanan, hendaklah mereka melantik salah seorang daripada mereka untuk menjadi pemimpin." (Riwayat Abu Daud)

5. Sentiasa mentaati pemimpin yang dilantik mengetuai rombongan selama tidak bercanggah dengan syariat.

6. Seorang pemimpin hendaklah bermusyawarah dengan orang.

7. Hendaklah seorang pemimpin berlemah-lembut dengan anggota rombongan.

8. Sunat musafir pada hari Khamis

9. Membaca doa keluar dari rumah

10. Membaca doa bermusafir

11. Membaca doa menaiki kenderaan

12. Saling berkerjasama sesama ahli musafir

13. Istirahat di pertengahan perjalanan

14. Berdoa apabila singgah di suatu tempat

15. Berkumpul semasa singgah untukj istirahat

16. Menjadikan waktu muafir banyak di waktu malam

17. Memanfaatkan waktu dengan berezikir dan melakukan ketaatan

18. Menjauhkan diri daripada perkara maksiat


ADAB – ADAB MUSAFIR
(Ringkasan Ihya’ ‘Ulumuddin karangan Imam Al Ghazali)

Adab – adab ini diterangkan tentang perihal sebelum musafir sehinggalah ia pulang kembali. Diringkaskan dalam bentuk short form.

Adab I

1. Dimulai dengan memulangkan semula semua harta yang diperoleh dengan pinjaman, secara zalim, penganiayaan, penipuan, pencurian dan sebagainya.
2. Tunaikanlah segala hutang piutang yang masih tertunggak.
3. Lengkapkanlah persiapan dan nafkah tanggungannya, agar tanggungannya ia tidak menghadapi kesukaran nanti.
4. Bekalan yang mahu dibawa mestilah dengan cara benar, bukan diperoleh dengan cara haram lagi batil.
5. Sekiranya, bepergian dengan kumpulan, pastikanlah bekalan mencukupi untuk semua ahli kumpulan.
6. Dalam bermusafir, usahakanlah selalu mengucapkan perkataan-perkataan manis dan baik, suka beri makan pada orang lain.
7. Tampilkanlah budi pekerti yang luhur lagi mulia kerana sepanjang musafir, seseorang akan menemui perkara -perkara yang menyakitkan hati, menimbulkan kekeluhan, maka barangsiapa yang masih luhur budi pekertinya semasa musafir, itu adalah tanda kebaikan budi pekertinya.
8. Berbuat baik kepada sesiapa yang kita sewa bendanya, menolong orang yang tergendala perjalanannya.
9. Beri sedekah kepada orang yang habis bekalan.
10. Lebih sempurna, jika dapat bergurau senda dengan kawan-kawan, tetapi jauhilah perkara maksiat dan perkataan kotor. Semua ini dapat meringankan kesukaran dan mengurangkan keluhan hati.

Adab II

1. Apabila jauh, hendaklah bermusafir dengan sahabat. Carilah sahabat dahulu, baru bermusafir. Carilah sahabat yang dapat membantu dalam urusan agama, agar ia dapat mengingatkan apabila kita lalai dan lupa.
2. Angkatlah seorang menjadi pemimpin. Pilihlah yang terbaik akhlaknya, yang selalu mengutamakan kepentingan sahabatnya dari dirinya dan mengutamakan persepakatan.

“Jika kamu bermusafir bertiga, maka angkatlah seseorang di antara kamu itu sebagai pemimpin.” (Riwayat Thabrani)

Adab III

1. Sebelum berangkat hendaklah meminta diri dahulu dari sahabat-sahabat yang masih menetap atau tidak ikut bermusafir. Orang yang meminta diri sebaiknya mengucapkan
“Saya serahkan kepada Allah, agama dan amanat saudara, dan penutup amalan saudara.” (asal hadith, diriwayatkan Tarmizi)

2. Setelah itu diikuti dengan berdoa,
“Mudah-mudahan engkau dibekali ketakwaan oleh Allah, dan Allah mengampuni dosamu dan menunjukkan kebaikan kepadamu di mana sahaja engkau berada.”

3. Selanjutnya, orang yang mahu bermusafir itu hendaklah beristikharah dan bertawakkal kepada Allah swt sebaik saja melangkah keluar pintu.

4. Bacalah doa menaiki kenderaan,

Adab IV

1. Hendaklah mempunyai sifat belas pada binatang kenderaannya. Jangan sekali dibebani sehingga overload dan jangan dipukul kepalanya sebab kedua tadi sangat dilarang dalam Islam.
2. Disunatkan sekali sekala turun dari kenderaan untuk merehatkannya.
3. Hendaklah seseorang tidak membawa suatu yang tidak termasuk di dalam perjanjian ketika sewa menyewa dibuat.

Adab V

1. Hendaklah selalu berhati-hati, jika bermusafir bersama kafilah atau rombongan agar tidak tertinggal. Sebaiknya berganti-ganti jaga semasa tidur.
2. Orang yang bermusafir hendaklah membawa bersamanya alat-alat mengemas diri, pada masa yang sama tidak terlalu menyusahkan dirinya dalam perihal taharah (bersuci), baik berwuduk dan sebagainya.

Adab VI

1. Apabila Rasulullah saw selesai berperang atau menunaikan haji / umrah, baginda sentiasa bertakbir di tempat tinggi sebanyak 3 kali.
2. Rasulullah saw melarang mengetuk pintu rumah keluarganya sewaktu malam, seolah begitu mendadak kedatangannya agar tidak mengejutkan.
3. Baginda mengajar apabila sampai, menuju ke masjid dan menunaikan solat 2 rakaat, kemudian barulah baginda masuk ke rumah.
4. Bawalah buah tangan untuk keluarga mengikut kemampuan. Ini adalah kerana kita disunatkan, memberikan kegembiraan dengan membawa buah tangan. Tambahan, ini adalah tanda mereka tetap diingati apabila bermusafir.
5. Apabila berada di negeri, bertemulah dengan ilmuan, ulama, hukamak dan mempunyai peribadi yang baik. Niatkanlah untuk mendapat faedah dan manfaat daripada mereka.
6. Jika mahu menziarahi sahabat, elakkanlah melebihi 3 hari menetap di rumahnya, kerana memang itulah hadnya seseorang perlu dilayan sebagai tetamu. Kecuali orang yang diziarahi sangat berat untuk ditinggalkan, atau sangat rindu kerana lama tidak berjumpa.
7. Janganlah melakukan perkara yang tiada manfaat, kerana ini akan melenyapkan keberkatan perjalanannya.

Alhamdulillah, telah selesai kita membaca adab-adab bermusafir. Semoga ini menjadi titik untuk kita berfikir kembali tentang perjalanan kita dan mendapat pahala yang besar daripada Allah swt.

Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment