Doa itu senjata umat islam, tapi kenapa sekarang 'senjata' kita itu sangat tumpul, buat qunut nazilah sambil merambu2 air mata pun masih Allah tidak perkenankan doa kita...
Di sinilah kita harus menilai diri sendiri. Siapa kita sebenarnya? Adakah kita ini termasuk orang yang bersih jiwa? Adakah kita mematuhi perintah Allah atau sebaliknya, sedangkan doa akan dimakbulkan (diterima) daripada hamba-Nya yang benar-benar ikhlas.
Andai kita bekerja di sebuah gudang, tetapi kita seorang pemalas, ingkar dan banyak melanggar peraturan di perusahaan itu, apakah ketua gudang itu akan menunaikan dengan mudah permintaan kita, seperti kenaikan gaji?
Sebagai ketua tentulah dia akan memberi dengan mudah jika pekerjanya itu seorang yang disayanginya, taat peraturan kerja dan rajin.
Demikian juga kita mengandaikan Allah dan hamba-Nya. Jika manusia itu seorang yang taat segala perintah, malah dalam masa yang sama menjauhi larangan-Nya dan rajin beribadat, insya-Allah mudahlah Allah memakbulkan segala doanya.
Jika kita melakukan banyak dosa, akan terhijablah (terdinding) doa kita. Dengan perkataan lain, sia-sia kita berdoa.
Ada lima perkara yang membuatkan kita terhijab atau ditolak doa oleh Allah s.w.t. iaitu:
# Dosa kerana mengingkari pemimpin.
Pemimpin terbahagi kepada dua iaitu pemimpin atasan dan pemimpin bawahan. Perintah mereka wajib ditaati selagi tidak bercanggah dengan syariat.
Pemimpin yang dimaksudkan di sini ialah pemimpin yang adil kepada orang bawahannya, soleh lagi berjiwa tauhid, bukan pemimpin yang fasiq dan berbuat mungkar kepada Allah s.w.t. Jadi ukurlah diri masing-masing sejauh mana ketaatan kepada pemimpin.
# Dosa kerana tidak taat guru.
Guru orang yang bertanggungjawab mendidik dan mengasuh kita. Segala ajarannya perlu diikuti. Jangan sampai guru berasa muak dengan kita, supaya kita tidak ditimpa malapetaka seperti susah menerima ilmu, gelap hati, keras hati, malas beribadat, doa dan amalan tidak terangkat dan tidak dapat memperbaiki akhlak.
# Dosa kerana menderhaka dengan ibu bapa.
Ibu bapa berkorban untuk menjadikan kita insan yang berguna di dunia dan akhirat. Jika kita menderhaka atau menyakiti hati mereka, sedangkan perintahnya bertepatan dengan syariat Islam, Allah pasti murka pada kita.
Awas, doa anak derhaka tidak diangkat malaikat ke hadrat Ilahi. Oleh itu, tidak ada perubahan atau peningkatan pada diri kita kerana doa mereka ditolak. Jadilah kita orang yang rugi di dunia dan akhirat.
# Dosa kerana derhaka kepada suami.
Isteri yang menderhakai suaminya tidak layak mencium bau syurga. Allah murka dan melaknat isteri yang membelakangi suaminya.
Rasulullah bersabda, maksudnya: “Jika Allah membenarkan manusia sujud kepada manusia selain-Nya, aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.”
Besarnya kedudukan seorang suami di sisi Allah. Seorang isteri walaupun ibadatnya sehebat ibadat Siti Maryam (ibu Nabi Isa), tiada nilai sedikitpun di sisi Allah jika masih menderhakai suami.
# Dosa kerana menganiaya atau menzalimi orang.
Golongan yang suka menganiaya dan menzalimi orang termasuk juga orang yang gemar menabur fitnah, mengadu domba, buruk sangka sesama manusia, suka menyakiti hati orang lain, sama ada dengan lidah, perbuatan atau tingkah laku.
Jika kita melakukan satu daripada lima perkara ditegah di atas, terhijablah doa dan amalan kita. Oleh itu, jika ingin doa kita dimakbulkan Allah, jauhkan diri daripada melakukan perkara yang mengundang kemurkaan Allah itu.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah SWT itu baik dan Dia tidak menerima kecuali yang baik juga, dan sesungguhnya Allah SWT telah menyuruh orang-orang yang beriman dengan apa yang yang ia suruh kepada sekalian Mursalin (para Rasul), maka Allah SWT berfirman (seperti yang disebutkan dalam hadith di atas) yang bermaksud : "Hai sekalian Rasul, makanlah daripada yang baik-baik (yang halal) dan beramallah akan amalan yang baik". Dan ia berfirman pula : "Hai orang-orang yang beriman, makanlah dari segala apa yang baik yang telah Kami berikan rezeki kepada kamu". Kemudian Rasulullah SAW menyebut seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut rambutnya, berdebu badannya, mengangkat kedua tangannya ke atas langit sambil berdoa : Ya Rabbi, Ya Rabbi (wahai Tuhanku), sedangkan makannya dari harta yang haram, minumannya dari harta yang haram, pakaiannya dari harta yang haram dan mulutnya disuapkan makanan yang haram, maka bagaimana akan diperkenankan doanya". (Hadith Riwayat Muslim)Allah SWT memerintahkan kita supaya mencari rezeki dari sumber yang halal sama ada rezeki itu untuk dimakan, diminum atau dipakai, kerana sumber yang haram adalah tempat kemurkaan Allah SWT dan tubuh badan yang tumbuh daripada memakan memakan makanan yang haram itu akan dibakar di dalam api neraka.
Di sini juga Kakchik nak ingatkan diri kakchik sendiri dan para muslim muslimat saudara seislam kakchik ada sebelas lagi sebab kenapa doa-doa yang kita mohon ditolak oleh Allah SWT :
1) Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya
3) Kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya
4) Kamu merasakan nikmat Allah tetapi kamu tidak bersyukur dengannya
5) Kamu berkata syaitan itu musuhmu tetapi kamu tidak menentangnya
6) Kamu berkata syurga itu benar tetapi kamu tidak mencarinya
7) Kamu kata neraka itu benar tetapi kamu tidak lari daripadanya
8) Kamu kata mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia menghadapinya
9) Kamu bangun dari tidur lalu kamu katakan banyak keaiban manusia tetapi kamu lupa akan keabaian kamu sendiri
10) Kamu kebumikan mayat saudara-saudara kamu tetapi kamu tidak mengambil i'tibar
11) Kamu berdoa tetapi hanya untuk memuaskan hawa nafsu diri kamu untuk berbuat
JUSTERU ITU MUHASABAHLAH DIRI KITA
No comments:
Post a Comment