PERKATAAN doa banyak terdapat dalam al-Quran dalam pelbagai pengertian. Doa merupakan satu ibadah. Firman Allah : "Dan janganlah kamu berdoa kepada selain Allah, iaitu kepada sesuatu yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepada engkau dan tidak kuasa pula mendatangkan mudarat kepada engkau"- surah Yunus: 106.
Doa bererti permohonan seorang hamba kepada Tuhannya. Allah menyuruh setiap orang berdoa kepadanya. Allah memberi janji bahawa Dia akan memperkenankan setiap doa.
Sama ada makbul doa itu diberi cepat atau lambat atau diberi di dunia atau di akhirat, manusia tidak akan tahu tentangnya. Doa yang makbul bergantung kepada setakat mana akrabnya seseorang itu kepada Allah. Semakin akrab seseorang kepada Allah, maka makin mudahlah doa hamba berkenaan diperkenankan.
Membina hubungan akrab inilah menjadi cabaran terbesar kepada seseorang kerana banyak disiplin dan rutin perlu diikuti.
Bak kata pepatah 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih' iaitu setiap azam dan kemahuan pasti ada jalan terbentang di hadapannya. Oleh itu, doa dan ikhtiar wajar dijadikan sumber kekuatan sama seperti fungsi roh dengan jasad pada diri manusia.
Ibnu Athaillah as-Sakandari mengingatkan kepada kita agar terus berdoa. Kenapa beliau berkata demikian? Kerana nafsu seringkali muncul ketika Allah menunda permintaan atau mengkabulkan doa kita.
Dalam keadaan demikian seringkali berputus asa dan merasa bahawa doanya tidak dikabulkan. Sikap putus asa itu disebabkan kerana kita rasa terlalu yakin akan dikabulkan tetapi hakikatnya adalah milik Allah.
Apakah setiap doa akan dikabulkan?
Pertanyaan ini akan terjawab apabila kita memahami apa yang disebut doa dan hakikatnya. Tidak harus berhenti daripada kesungguhan berdoa, dan tidak berpaling dari-Nya kerana lambat masa diperkenankan.
Juga jangan mengherdik sambil melontarkan kalimah-kalimah marah berupa bantahan ke atas rasa tidak puas hati. Tatkala Allah berfirman, pastilah ada harapan untuk mendapat hajat tersebut.
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takabur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina"- surah al-Mu'min: 60
Bersangka baik terhadap Allah adalah di antara prasyarat kepada kejayaan dalam berdoa. Memang kekecewaan akan terbuku di hati jika apa yang kita pohon belum lagi menjelma sedangkan masa terus beredar. Barangkali renungan ini dapat membantu meleraikan resah kita.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul'" - surah al-Baqarah: 186.
Kaum terdahulu telah keluar daripada sengsara dan derita kerana doa mereka diperkenankan Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu)" - surah an-Naml: 62.
Allah tidak akan menghampakan permohonan dan permintaan hamba-Nya lebih-lebih lagi yang beriman dan beramal soleh kerana Allah sangat dekat kepada setiap hamba-hamba-Nya. "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." - surah al-A'raf:55.
Orang yang berputus asa akan berkata: "Allah tidak memakbulkan doa aku." Tetapi ingat, Allah menjamin doa yang dimohon akan dikabulkan. Konsep doa yang dikabulkan juga harus difahami supaya kita faham benar bagaimana doa itu berfungsi.
Ada kalanya doa yang kita minta diberi ketika di dunia sementara yang lainnya tidak. Jika yang dimohon sesuai dengan kehendak-Nya, maka akan diberikannya segera, tetapi jika permohonannya tidak seiring dengan kehendak-Nya maka sebagai ganti, Dia akan memberikan sesuai dengan kehendak-Nya sebagai pilihan yang tepat.
Dalam hadis Rasulullah bersabda : "Tidak seorang pun pendoa, melainkan ia berada di antara salah satu dari tiga kelompok ini: Kadangkala ia dipercepat sesuai dengan permintaannya, atau ditunda (pengabulannya) demi pahalanya, atau ia dihindarkan daripada keburukan yang menimpanya." - hadis riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim.
No comments:
Post a Comment