Wednesday, November 10, 2010

SEJARAH HAJI

Haji adalah rukun sebagaimana pegangan akidah muslim. Ibadah ini adalah satu ketetapan Illahi sejak azali lagi dan ianya berkait rapat dengan kepercayaan hari kebangkitan kelak ketika menghadapi tuhan Rabbul Jalil.

Haji pada isitilah dengan membawa maksud kata-kata dan perbuatan yang dilaksanakan pada waktu yang dikhususkan. Bagi seseorang yang mengerjakan haji dia akan melihat dan terhidang di mata kepalanya dengan syiar-syiar yang telah disebutkan Allah. Berdirinya di lapangan Kaabah lantas bertawaf sekitar Baitil Atiq rumah kecil yang dibina oleh Abul anbiya bersama anaknya. Perkara ini jelas di dalam firmanNya:

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim a.s bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui ". Al-Baqarah :127

Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :

Bagi sesiapa yang diizinkan Allah untuk menunaikan kefardhuan haji setelah segala persiapan yang bersungguh-sungguh dengan mendapat petunjuk untuk menjadi tetamu Allah. Pada hemat kakchik mereka ini adalah golongan yang mengendong beg-beg mereka dan bermusafir kedua-dua tanah suci haram yang dimuliakan oleh Allah dengan permusafiran dan perjalanan yang sungguh bahagia.

Ziarah ke BaitillahilHaram ini adalah semulia-mulia kefardhuan dan dinilai tinggi di sisi Allah swt. Kefardhuan ini ditaklifkan oleh Allah kepada hambanya sejak awal penciptaan makhluk, malah sebelum penciptaan itu lagi Allah telah memilih tempatnya yang mulia lagi barakah ini. Tempat itu pada ilmu Allah Taala sejak azali lagi akan dijadikan kiblat bagi keseluruhan manusia kerana ianya berpusat pada kedudukan yang sama dengan Bait Ma’mur di langit yang keempat.

Anas bin Malik r.a meriwayatkan daripada Malik bin Sa’saah dengan katanya: berkata Rasulullah S.a.w: “aku telah dibawa ke langit keempat dan diangkat ke Bait Ma’mur. Kedudukannya bersetentangan dengan Kaabah, jika runtuhnya ia maka mengenai Kaabah. Pada setiap hari akan masuklah 70000 para malaikat kedalamnya lalu apbila mereka keluar dari situ mereka tidak akan kembali lagi ke arahnya''.

Pada satu aspek, Baitulllah yang mulia ini dianggap sebagai paksi bumi di antara timur dan barat dan juga menjadi satu pusat tumpuan penglihatan dan hati-hati manusia dari seantero dunia sejak dahulu hinggalah tiba kiamat kelak. Pada asas pembinaan Baitullah ini, ianya disempurnakan dalam beberapa peringkat:

Peringkat pertama: sebelum penciptaan abul basyar Adam a.s. sebagaimana diriwayatkan daripada Hasan bin Husein bin Ali bin Abi Talib r.a. Sesungguhnya seorang lelaki datang bertanyanya: "apakah asas permulaan tawaf bagi kaabah ini? Kenapa dan bagaimana? Maka jawab Ali kepada lelaki tersebut:" permulaan tawaf bagi kaabah ini ketika mana Allah taala berfirman kepada para malaikat: " Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah….."Al Baqarah 30

Maka kata malaikat: '' wahai Tuhan! Khalifah selain kami ini bakal merosakkan bumi menumpahkan darah dan bercakaran serta berhasad dengki. Lalu kata mereka lagi: jadikanlah khalifah itu di kalangan kami, nescaya kami tidak melakukan kerosakan,menumpahkan darah dan berhasad dengki bahkan kami ini golongan yang bertasbih, memuji dan menyucikanMu. Kami taat padaMu dan tidak ingkar.
Lalu Allah berfirman:
" Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."

Peringkat kedua : iatulah pada zaman Adam alaihissalam setelah mendapat perintah Allah s.w.t. Perkara ini sebagaimana pendapat yang diberikan oleh sebahagian mufassirin. Imam Thabari ketika mana menghuraikan pada tafsiran firman Allah s.w.t:
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah".

Firman Allah pada ayat ini menurut huraian tafsiran Imam Thabari menunjukkan asas pembinaan kaabah bermula dengan tangan Abul Basyar Adam alaihissalam setelah diperintah Rabbul jalil lalu binaan ini kekal kesannya hingglah ke zaman nabi Ibrahim alaihissalam kemudian binaan ini ditinggikan oleh Ibrahim a.s bersama anaknya Ismail alaihissalam.

Al Imam Qurthubi pula mengulas di dalam tafsirnya dengan menjelaskan: " Setelah selesainya pembinaan kaabah, nabi Ibrahim a.s seraya menyeru manusia kepada haji dengan kata baginda: wahai Tuhan! Apakah akan sampai seruan suaraku ini? Berfirman Allah: serulah mereka, lalu berangkatlah Ibrahim memanjat bukit Abi Qubais lalu melaungkan seruan haji: " wahai Manusia! Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kamu semua menunaikan haji di rumah ini (kaabah) supaya diganjarkan kamu dengan syurga dan melepaskan kamu dari azab neraka.
Lalu seruan tersebut disahut dengan laungan talbiah oleh umatnya. Pengsyariatan haji pada zaman Ibrahim Alaihissalam sangat berbeza, mengikut riwayat yang diambil melalui ibn abbas dan ibn Jabir menceritakan syariat haji pada zaman itu berasaskan seruan Nabi Ibrahim. Sekiranya pada satu tahun diseru dengan sekali maka diwajibkan sekali sekiranya dua kali penyeruan itu lalu umat pada ketika itu akan melakukan haji secara dua kali" .

Haji pertama kali disyariatkan oleh Allah pada masa Nabi lbrahim a.s. dan ia adalah Nabi yang dipercayai oleh Allah untuk membangun Ka’bah bersama dengan anaknya Ismail di Mekah. Allah menggambarkan Ka’bah sebagai berikut: “Dan ingatlah ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan mengatakan): janganlah kamu menyekutukan sesuatupun dengan Aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang beribadat mereka yang ruku’ dan sujud.” (Al-Hajj :26)

Setelah membangun Ka’bah, Nabi Ibrahim datang ke Mekah untuk melakukan ibadah haji setiap tahun, dan setelah kematiannya, amalan ini dilanjutkan oleh anaknya. Namun, secara bertahap dengan berlalunya waktu, baik bentuk dan tujuan ritual haji berubah sebagai penyembahan berhala yang tersebar di seluruh Arabia, Ka’bah kehilangan kemurnian dan berhala ditempatkan di dalamnya. Dindingnya penuh dengan puisi dan lukisan, dan akhirnya lebih dari 360 berhala ditempatkan di sekitar Ka’bah.

Selama musim haji itu sendiri, suasana di sekitar rumah suci (Ka’bah) layaknya seperti sarkas. Laki-laki dan perempuan mengelilingi Ka’bah dengan telanjang, dengan alasan bahwa mereka harus menampilkan diri di hadapan Allah dalam kondisi yang sama seperti mereka lahir. Doa mereka menjadi bebas tak lagi tulus mengingat Allah, malah berubah menjadi serangkaian tepuk tangan, bersiul dan meniup tanduk, bahkan kalimat talbiah telah diselewengkan oleh mereka dengan tambahan-tambahan. Bahkan darah binatang yang dikorbankan dituangkan ke dinding Ka’bah dan dagingnya digantung di tiang sekitar Ka’bah, dengan keyakinan bahwa Allah menuntut daging dan darah hewan-hewan ini. Mengenai hal ini Allah SWT mengingatkan dengan firman-Nya: “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridhaan) Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.” (Al-Hajj: 37)

Menyanyi, minum arak, perzinaan dan perbuatan amoral lainnya tersebar luas di antara para peziarah. Dan pertandingan puisi adalah acara utama dari seluruh rangkaian haji. Dalam pertandingan ini, para penyair akan memuji keberanian dan kemegahan suku mereka masing-masing dan menceritakan cerita-cerita yang berlebihan, kepengecutan dan kekikiran suku-suku lainnya. Pertandingan dalam kemurahan hati juga diadakan di mana masing-masing ketua suku akan menyediakan kuali besar dan memberi makan para peziarah, hanya agar mereka boleh menjadi terkenal kerana kemurahan hati mereka.

Mereka benar-benar meninggalkan ajaran nenek moyang dan pemimpin mereka Nabi Ibrahim a.s. Ajarannya yang suci untuk menyembah Allah semata, telah dinodai oleh orang-orang kafir dan ritual yang telah ditetapkan benar-benar diselewengkan oleh mereka. Keadaan menyedihkan itu berlangsung selama kurang lebih dua ribu tahun. Tapi kemudian setelah era penuh kesesatan yang panjang ini, waktu pun tiba untuk doa Nabi Ibrahim yang terjawab: “Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat-Mu dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab (Al-Qur’an) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Baqarah :129)

Peringkat ketiga: Selama dua puluh tiga tahun, Nabi Muhammad menyebarkan pesan tauhid – pesan yang sama bahwa Nabi Ibrahim dan semua Nabi pendahulunya datang dengan membawa dan mendirikan hukum Allah dimuka bumi. Nabi tidak hanya membersihkan Ka’bah dari segala kotoran, tapi juga mengembalikan semua ibadah haji yang dituntunkan oleh Allah di masa Nabi Ibrahim.

Terdapat perintah khusus dalam Al-Quran diturunkan dalam rangka menghilangkan semua upacara palsu yang telah merajalela di masa pra-Islam. Semua tindakan tidak senonoh dan memalukan itu sangat dilarang dalam pernyataan Allah SWT: “Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats (mengeluarkan perkataan yang menimbulkan birahi yang tidak senonoh atau bersetubuh), berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji.” (Al-Baqarah: 197).

Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.

Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.

Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan "Hijjatul Wada'/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam.

Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ.

Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.

Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :

1. Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.


2. Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa " Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah".

3. Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan " Apakah itu Haji?". Sabdanya yang bermaksud " Haji itu berhenti di Arafah". Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.

4. Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud :

" Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami"

Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Selesainya tawaf sekitar kaabah, sa'ie menjadi hala tuju seterusnya. Di sinilah terpaterinya sejarah seorang ibu yang penyabar. Ibu ini yang telah mengendong bayi kecil setelah ditinggalkan suaminya atas perintah Rabbul Jalil. Perkara ini terpahat sebagai satu syiar Islam sehingga dijadikan rukun haji. Safa dan marwah adalah tempat yang mulia dan agung bagi penunai haji. Perkara ini dijelaskan di dalam firman Allah:

" Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah dia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya……."

Peristiwa Ibrahim a.s yang telah diperintahkan untuk meninggalkan isteri dan anaknya ini tercatat di dalam lipatan sejarah. Peninggalan Ibrahim a.s ini disaksikan dengan firman Allah ketika baginda bermunajat dengan doanya memohon keselamatan kepada isteri dan anaknya. Firman Allah di dalam surah Ibrahim ayat 37:

" Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur".

Semoga semua jemaah haji memperolehi haji mabrur.

No comments:

Post a Comment